Meningkatkan kefahaman masyarakat kepentingan gerakan dakwah



​​ Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman







BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 September. - Usaha kita mempertinggi dan memperkuat syiar Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD). Untuk mencapai tujuan-tujuan ini sangatlah kena pada tempatnya bagi Pusat Da'wah Islamiah (PDI) menjadi sebuah institusi perkembangan dakwah Islam di negara ini dan mempertinggi pengetahuan rakyat berhubung dengan ajaran-ajaran Islam.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat majlis berucap demikian semasa memberikan ucapan perasmian Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.


Menyentuh mengenai program dakwah untuk menerima saudara-saudara baharu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyatakan bahawa rekod kumulatif pengislaman mencatatkan bahawa ada seramai 18,689 orang iaitu bagi tempoh mulai tahun 1985 hingga Jun tahun 2025 ini.


Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI diadakan bersempena dengan Jubli Delima PDI iaitu Sambutan Ulang Tahun Penubuhannya Ke-40 pada 1 Muharam 1406 Hijrah bersamaan 16 September 1985 Masihi anjuran PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).


Seminar Da'wah bertemakan 'Sinar Da'wah 40 Tahun Di Negara Zikir : Cabaran dan Harapan', sementara pamerannya pula membawa tema 'Menelusuri 40 Tahun PDI' dan diadakan selama dua hari iaitu bermula hari ini, Selasa, 16 September 2025 sehingga Rabu, 17 September 2025.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Kerja (SkiPPA), PDI, Awang Muhammad Zainulariffin bin Haji Muskapah.


Acara diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah PDI, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI sempena Jubli Delima PDI.


Dalam ucapannya, seramai 91 peserta seminar yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan, swasta, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi serta perseorangan yang akan mengikuti seminar dakwah ini.


“Dengan adanya seminar ini, akan dapat berkongsi ilmu, pengalaman, dan pandangan daripada tokoh-tokoh yang arif dalam bidangnya. Mudah-mudahan segala perbincangan yang berlangsung nanti akan melahirkan pendekatan-pendekatan baharu yang lebih berkesan, khususnya dalam mendepani cabaran digital, membimbing golongan belia serta memperluas jaringan dakwah kepada masyarakat keseluruhannya," jelasnya.


Majlis diteruskan dengan tayangan video perasmian dan kemudiannya sesi interaktif bersama Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.


Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin.


Seminar ini antara lain bertujuan untuk mencapai beberapa objektif utama antaranya meningkatkan kefahaman masyarakat akan kepentingan gerakan dakwah kepada Muslim dan Non-Muslim, di samping itu meneroka lebih banyak kaedah berkesan yang boleh diadaptasikan dalam perkembangan dakwah masa kini.


Sebanyak 12 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang dua hari seminar diadakan. Tema utama seminar ialah 'Sinar Da'wah 40 Tahun di Negara Zikir : Cabaran dan Harapan'.


Tema tersebut dibahagikan kepada lima sub-tema iaitu 'Menelusuri 40 Tahun PDI'; 'Da'wah Digital'; 'Da'wah dan Belia'; 'Da'wah Kepada Non-Muslim di Pedalaman dan Bandar' dan 'Da'wah dan Personaliti Da'ie'.


Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI ini dibukakan kepada orang ramai secara percuma, bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, namun pada hari pertama, pameran hanya akan mula dibukakan kepada orang ramai bermula pukul 1.30 petang iaitu selepas upacara perasmian.


Close